Pilihanraya

PRN: Aminudin yakin pengundi Melayu akan sokong Kerajaan Perpaduan

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin pengundi Melayu di negeri itu akan terus memberi sokongan kepada gabungan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan.

Aminuddin yakin sokongan rakyat tak berubah

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Seremban pada Rabu, beliau berkata keyakinan tersebut berdasarkan keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu dimana kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).

“Kami kenal masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, kami yakin mereka akan bersama Kerajaan Perpaduan di negeri ini. 

“Pengundi Melayu tidak melihat gelombang semata-mata. Mereka turut lihat dan menilai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri selama ini dalam meningkat ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

“Mereka (pembangkang) boleh berkata apa sahaja, sebab mereka orang politik dan boleh kata apa sahaja untuk yakinkan masyarakat tetapi mereka harus lihat fakta, bukan hanya seronok untuk buat kenyataan begitu. Kalau diikutkan keputusan Parlimen, semuanya kita menang juga di seluruh DUN jika ikut keputusan hari ini,” katanya yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Beliau sebelumnya mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang mendakwa ‘tsunami Melayu’ bakal berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN tidak lama lagi.

Sementara itu Aminuddin ketika menyentuh mengenai PRN memberitahu, PH dan BN di Negeri Sembilan akan mengadakan perbincangan mengenai manifesto bersama untuk menghadapi pilihan raya itu. 

Untuk itu menurutnya sebuah jawatankuasa akan diwujudkan tetapi di peringkat PH Negeri Sembilan, 

“Sekretariat manifesto telah pun ada. Selepas ini, kami akan bersama BN untuk melihat perkara-perkara yang boleh dibawa untuk kita pastikan ia menjadi satu manifesto bersama,” tambahnya. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button