Negeri

Bekalan air mentah Selangor cukup hadapi El-Nino – Amirudin

 

JUMLAH  takungan bagi tujuh empangan di Selangor masih mencapai kapasiti penuh meskipun negara sedang berdepan fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca panas dan taburan hujan berkurangan. 

Bekalan air mampu bertahan 4 bulan tanpa hujan

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan media pada Khamis memaklumkan kesemua empangan di lima daerah itu akan berdungsi sebagai takungan utama sumber air mentah untuk Selangor. 

Selain itu jelasnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga jelasnya telah mengenal pasti 98 kolam takungan sebagai sumber air alternatif dengan jumlah simpanan 34 juta meter padu sebagai tambahan memastikan bekalan air untuk rakyat Selangor sentiasa mencukupi sepanjang fenomena El-Nino.  

“Sehingga 17 Mei, keseluruhan takungan bagi tujuh empangan berada pada kapasiti penuh 100 peratus.

“Berdasarkan trend penggunaan air di negeri secara keseluruhan, kapasiti air mentah mampu bertahan selama tempoh 4 bulan tanpa hujan,” katanya dalam kenyataan. 

Tujuh empangan tersebut adalah Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi di Hulu Selangor; Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih di Hulu Langat; Empangan Klang Gates dan Empangan Batu di Gombak; Empangan Tasik Subang (Petaling) dan Kolam Off River Storage Labu di Sepang.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laporannya sebelum ini menjangka kebarangkalian berlaku El Nino sekitar 57 peratus antara Jun hingga September dan meningkat kepada 62 peratus (September hingga November).

Fenomena itu berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus menyebabkan sistem iklim berubah kepada panas dan kering.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button