Nasional

PM umum RM1.2 juta untuk SMKA Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi arahan supaya kerja-kerja membaik pulih asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji  Abu Hassan Haji Sail di Rembau, Negeri Sembilan yang terbakar sejak tahun lalu disegerakan.

PM umum peruntukan tambahan baik pulih

Pada lawatan bagi meninjau blok asrama lelaki sekolah itu semalam, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM890,000 daripada peruntukan asal sebanyak RM3 juta sebelum ini.

“Saya akan pastikan peruntukan (baik pulih) ditambah dan pelaksanaan disegerakan (kerana) saya difahamkan kelulusan diberikan sekitar RM 3 juta, tetapi dengan melihat keadaan asrama tentunya tidak mencukupi.

“Saya akan minta Menteri Besar berbincang dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya Kementerian Kewangan dapat beri kelulusan khas supaya dipercepatkan dan dijadikan ‘fast track’,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebelumnya meluangkan masa kira-kira 20 minit melihat sendiri kemusnahan blok asrama itu. 

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM310,000 bagi membaik pulih bilik guru dan surau sekolah yang merupakan antara sekolah cemerlang di Negeri Sembilan itu.

“Kita lihat juga sekolah ini tidak daif, tetapi dari segi prasaranya sangat sederhana dan kalau kita tengok asrama itu kesesakannya luar biasa kerana kemudahan agak minima.

“(Tetapi) masih mampu (menampung) kerana komitmen dan dedikasi tenaga pengajar serta disiplin pelajar-pelajar dapat mengangkat martabat sekolah. Saya percaya sekolah ini bukan sahaja cemerlang tetapi mampu menjadi contoh,” tambahnya.

Kebakaran membabitkan 10 bilik asrama itu pada Julai lalu telah menyebabkan kira-kira 150 daripada 300 pelajar lelaki terpaksa menumpang sementara di kuarters rumah pengetua dan rumah penolong kanan pentadbiran  sekolah.

Dewan asrama juga turut telah dijadikan tempat tidur sementara pelajar terbabit sementara menunggu kerja baik pulih siap dilaksanakan.  

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button