Parlimen

RUU Insolvensi: Yuneswaran cadang bekas belia bankrap terus dibantu

DEWAN RAKYAT pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sokongan bagi beri motivasi perlu diberikan

Terdahulu, Ahli Parlimen Segamat R.Yuneswaran ketika perbahasan bagi menyokong usul itu turut berharap sokongan diberikan kepada golongan belia bankrap yang dilepaskan menurut kuasa akta itu bagi memulihkan semula kemampuan ekonomi mereka. 

“Belia bankrap yang dilepaskan menurut kuat kuasa Akta ini seharusnya disediakan pelbagai bentuk sokongan yang boleh memotivasikan mereka untuk bersama-sama dengan kita menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebagai wakil rakyat yang peka terhadap survival anak muda, saya ingin mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan dapat menyediakan kuota khas kepada anak-anak muda yang baru dilepaskan daripada status bankrap untuk menyertai program Parlimen Belia bagi sesi 2023-2024,” katanya. 

Bagi tahun 2019 hingga 2023, individu dalam lingkungan 35 hingga 44 tahun merupakan kumpulan paling ramai diisytiharkan bankrap iaitu seramai 13,073 orang.

Sementara itu tambah Yuneswaran kerajaan menerusi agensi dan kementerian yang berkaitan seharusnya mewujudkan satu dasar yang boleh namakan “Pelan Hala Tuju Bebas Hutang.” sebagai ‘life jacket’ kepada golongan itu untuk membina semula kehidupan bekerjaya mereka. 

“Ia semestinya menumpukan penyediaan platform jana pendapatan yang boleh mendorong mereka untuk membayar semula hutang belum lunas secara disiplin.

“Selain itu, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) juga wajar dijadikan sebagai platform sokongan untuk individu bankrap yang dilepaskan untuk menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi yang disediakan oleh IPR,” tambahnya dipetik teks perbahasan di Dewan Rakyat semalam. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button