Nasional

KPWKM atur sesi kaunseling , beri sokongan moral untuk keluarga Hawari

 KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengatur sesi kaunseling untuk keluarga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, yang hilang dalam perjalanan turut dari puncak tertinggi itu.

Hawari hilang ketika turun dari Everest

Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu berkata sesi kaunseling itu adalah sebagai sokongan moral terutama untuk isteri Muhammad Hawari, Saffiyah Tang, 34, serta anak-anak Hana Sakeena, 4, dan Haris Suffian, 2 yang kini sedang melalui saat yang sangat mendukakan.

“Perbincangan di peringkat kementerian, kita akan membantu dari sudut kaunseling di mana kita akan aturkan sesi bersama pakar kaunseling.

“Kita akan beri perhatian kepada isu ini. Keluarga beliau sedang melalui saat yang mendukakan apabila mereka kehilangan insan yang sangat penting, justeru kita perlu beri sistem sokongan kepada mereka,” jelasnya.

Aiman Athira berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Wanita: Kanser Wanita dan Gaya Hidup di Kepala Batas semalam.

Kehilangan Muhammad Hawari, pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran memasuki hari ke-11 apabila beliau dilaporkan hilang selepas meninggalkan Kem Empat pada 19 Mei lalu.

Pada 18 Mei (Khamis) lepas, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada pukul 3.30 petang waktu Nepal.

Semalam Presiden Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia, Azim Afif Ishak, 33, memberitahu pihak berkuasa Nepal menutup aktiviti mendaki ke puncak Everest bermula Isnin, namun dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Nepal, pihaknya telah mendapat lanjutan tempoh lima hari bagi meneruskan misi SAR.

Misi selepas ini akan diteruskan dengan menggunakan dua dron berteknologi tinggi.

Sekiranya inisiatif dron itu berjaya mengesan objek, sut pakaian atau kelengkapan lain yang digunakan Muhammad Hawari, 10 malim gunung akan ditugaskan ke kawasan itu bagi membuat pengecaman. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button