Negeri

Selangor bina LRA terbesar di Asia Tenggara, tampung keperluan bekalan air

RAKYAT sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini boleh menarik nafas lega dengan inisiatif terbaharu oleh Kerajaan Selangor dalam memastikan kelestarian bekalan air.

Satu lagi inisiatif kerajaan negeri untuk rakyat

Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Banting yang merupakan projek jangka panjang yang berupaya meningkatkan margin rizab air di negeri itu. 

Apabila siap nanti, projek dibawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) itu akan menjadi Loji Rawatan Air (LRA) paling besar dan termaju di Asia Tenggara dengan kemampuan menghasilkan bekalan air bersih sebanyak 1,400 juta liter sehari (JLH).

“Loji Rawatan Air Sungai Rasau ini dilengkapi dengan proses pengozonan bagi menjamin mutu kualiti air sentiasa mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Fasa pertama menelan belanja RM3.4 bilion dan fasa kedua pula RM2.4 bilion. LRA Sungai Rasau akan menjadi loji rawatan air paling besar operasi dengan kadar keupayaan lebih 1,400 JLH sekali gus paling maju di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Pembinaan memerlukan perbelanjaan besar kerana terpaksa melaksanakan proses bukan sahaja pembinaan, teknologi moden seperti ozon tetapi juga pengambilan tanah dengan kos yang tinggi,” katanya.

Hadir sama pada perasmian itu adalah Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Ir Abas Abdullah.

Sementara itu tambah Amirudin, Kerajaan Persekutuan turut membiayai peruntukan sebanyak RM1.18 bilion menerusi geran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim bagi pembinaan kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

Kolam yang dibina itu kelak akan mempunyai dwi-fungsi sebagai sumber pembekalan air yang dapat menangani kemarau serta menyimpan air bagi tujuan penebatan banjir.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan usaha ini demi kepentingan kira-kira 8 juta penduduk di Negeri Selangor Darul Ehsan, serta Wilayah Persektuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” tambah Naib Presiden KEADILAN itu. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button