Pilihanraya

Rundingan baki 3 kerusi DUN Selangor dibincang Rabu ini, kata MB

KEPIMPINAN  Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) negeri
Selangor direncana akan bertemu pada Rabu bagi memuktamadkan kedudukan
baki tiga kerusi DUN yang bakal ditandingi pada PRN akan datang.

Rundingan dijangka boleh selesai dengan lancar

Menteri
Besar Amirudin Shari berkata, berdasarkan kesepakatan yang dicapai
antara dua gabungan itu berhubung rundingan 53 kerusi lain sebelum ini,
beliau yakin rundingan tiga kerusi itu dapat diselesaikan secepat
mungkin.

“Rabu ini, kita akan adakan perbincangan pada peringkat
rasmi (dua-dua gabungan). Kita mula (dengan) 56 kerusi dan kini tinggal
tiga kerusi (belum muktamad), maknanya sangat bagus kemajuan
(rundingan) dalam tempoh hanya dua bulan.

“Sebab itu saya yakin
dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya Pengerusi KEADILAN negeri
Selangor itu pada sidang media Program Jelajah Usahawan dan Koperasi
Madani 2023 Selangor di Shah Alam pada Ahad.

Difahamkan, tiga kerusi yang masih belum diputuskan membabitkan kerusi DUN Dengkil, Meru dan Kuang.

Menurut
sumber Umno, parti itu menuntut kerusi Dengkil dan Kuang yang dimenangi
Bersatu pada PRU14, namun KEADILAN juga mahukan kerusi sama.

Sementara
itu, Umno turut menuntu kerusi DUN Meru yang disandang KEADILAN kerana
parti itu merasakan bahawa kerusi itu boleh dimenanginya, mengambil kira
undi pada PRU15, yang memihak kepada BN.

Ketika ditanya mengenai laporan itu, Amirudin enggan mengulas lanjut.

“Perkara dibincangkan dalam jawatankuasa (rundingan) tak boleh dibawa keluar lagi,” tegasnya.

Mengenai
pembubaran DUN, Amirudin yang juga Adun Sungai Tua berkata, tarikh
pembubaran DUN Selangor masih belum mendapat perkenan Sultan Sharafuddin
Idris Shah.

Beliau menjangkakan akan menghadap baginda Sultan
sebelum 20 Jun ini iaitu sebelum Sultan Sharafuddin dijangka berangkat
ke Mekah bagi menunaikan ibadat haji.
  

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button