Negeri

Kuari: penduduk mahu jawapan telus dari MB Kedah

PENDUDUK sekitar Gunung Baling dan Gunung Pulai di Kedah mahu kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi Md Nor memberi jawapan telus mengenai status cadangan projek kuari di dua gunung berkenaan.

Penduduk bimbang projek kuari diteruskan

Mahu tahu sama ada projek itu telah dibatalkan atau sekadar ditangguhkan, rata-rata penduduk kebimbangan sekiranya ia diteruskan akan memberi kesan buruk kepada penduduk termasuk menjejaskan kesihatan mereka.

Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee dipetik laporan Awani berkata, jarak tapak cadangan kuari dari penempatan penduduk hanya sekitar 150 meter dari Gunung Pulai manakala 990 meter dari Gunung Baling.

Beliau mendakwa sudah 12 kali bantahan bertulis dibuat sejak 2018 dan tiga kali memorandum bantahan dihantar kepada pejabat Menteri Besar namun tidak mendapat sebarang jawapan bertulis sehingga kini. 

“Sepatutnya MB boleh bantu kita penduduk semua untuk batalkan terus, dah tiga tahun habis penggal. Kita harap sebelum habis penggal ini harap beliau batalkan terus cadangan kuari,” kata pada sidang media berkaitan bantahan projek berkenaan bersama penduduk di kaki Gunung Pulai, pada Isnin.

Mohd Sobri berkata sekiranya projek itu diteruskan selepas ini, ia akan memberi kesan kepada kualiti udara selain menyebabkan pelbagai penyakit akibat daripada habuk letupan dan kerja-kerja kuari.

Selain itu katanya, ia turut akan menjejaskan sumber air mentah penduduk berikutan kualiti air Sungai Ketil yang terletak hanya 100 meter dari tapak cadangan projek dan dibimbangi akan tercemar berpunca daripada kerja-kerja tanah, sisa hancuran batu kapur dan diesel.

Penduduk juga bimbang projek itu akan menjejaskan sumber pengairan sawah padi yang terletak di hilir Sungai Ketil. 

Kamaruddin Zakaria, 57 yang merupakan Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Kuari di dua kawasan itu dipetik laporan sama berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya projek itu berikutan ia dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja dan mendatangkan mudarat kepada penduduk.

Katanya, kira-kira hampir 2,000 penduduk di kaki Gunung Pulai terutama di Kampung Padang Che Mas akan terjejas terutama bagi mereka yang menjadikan kawasan itu sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

“Debu-debu berterbangan yang boleh menjejaskan sumber pendapatan, mengurangkan hasil pengeluaran getah, hasil pengeluran dusun.

“Juga, (dikhuatiri) bencana lain seperti banjir kilat, debu-debu, pencemaran mengganggu kesejahteraan penduduk terutama kesihatan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button