Nasional

Kerajaan tidak benarkan aktiviti NR-REE di kawasan HSK dan KSAS

MALAYSIA memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion.

Aktiviti perlu kawalan elak kesan alam sekitar

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati sumber NR-REE negara terdapat di sepuluh buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Katanya, data itu menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi antara negara pengeluar NR-REE, namun sebarang aktiviti perlombongan perlu dikawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan NR-REE yang dibangunkan kementerian itu.

“SOP ini merangkumi semua perundangan yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral Negeri, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Selain pematuhan SOP, sebarang perlombongan NR-REE juga tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh JMG.

“Setakat ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berpendirian tidak menyokong dan tidak meluluskan sebarang aktiviti perlombongan termasuk NR-REE jika dijalankan di kawasan hutan simpan kekal (HSK), rizab perlindungan dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS),” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian dalam menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang bertanyakan senarai negeri yang mempunyai NR-REE dan nilainya, serta langkah kerajaan mengawal dan mengurangkan impak alam sekitar daripada aktiviti penerokaan NR-REE, semalam.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memaklumkan, NRECC turut mengenal pasti penggunaan kaedah perlombongan secara ‘in-situ leaching’ yang kurang memberi kesan kepada alam sekitar.

Katanya, kaedah itu lebih mesra alam sekitar kerana hanya membabitkan pembukaan tanah yang minimum untuk pengekstrakan mineral.

“Kaedah ini diyakini lebih selamat dan mesra alam berbanding kaedah perlombongan secara terbuka yang mengakibatkan lebih banyak pembersihan hutan akibat penebangan pokok,” katanya.

-AA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button