Sukan

KBS jamin beri sokongan berterusan untuk Azizulhasni

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memberi sokongan berterusan kepada jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dalam misinya memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Paris tahun depan.
KBS lulus permohonan Azizulhasni Awang

Menterinya Hannah Yeoh berkata, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat bersama antara KBS dan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang dipengerusikannya di Putrajaya pada Isnin.

Jawatankuasa juga jelasnya telah bersetuju meluluskan permintaan Azizulhasni sebelum ini supaya diberi kemudahan dan sistem sokongan lebih baik.  

“Jawatankuasa telah meluluskan permintaan yang dibuat oleh Datuk Azizulhasni Awang dan komited untuk memastikan sokongan berterusan untuk beliau,” katanya.

Pelumba yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu sebelum ini melahirkan kekecewaan terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.

Tidak sekadar itu, beliau yang juga prospek terbaik Malaysia bagi menyumbang emas sulung Olimpik turut melahirkan rasa terkilan apabila beberapa siri perbincangan diadakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mencapai sebarang kata sepakat bagi menyelesaikan isu dihadapinya.

Susulan itu beliau membawa isu itu kepada pihak KBS dan juga RTG untuk perhatian dengan harapan suatu keputusan dapat dibuat. 

Sementara itu, Hannah turut memaklumkan sejumlah RM6.9 juta diluluskan untuk disalurkan bagi memenuhi segala permintaan atlet di bawah RTG.

Jumlah yang diluluskan melalui mesyuarat itu adalah mencukupi bagi program kumpulan kali dan bakal ditambah sekiranya berlaku penambahan atlet.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button