Nasional

Kerajaan perkenal Pakej Rahmah Insurans dan Takaful

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Pakej Rahmah Insurans dan Pakej Rahmah Takaful pada Selasa. 

Tawar perlindungan komprenhensif berpatutan

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pakej itu ditawarkan dua syarikat takaful dan insurans terkemuka iaitu Allianz Malaysia dan Etiqa yang menawarkan perlindungan komprehensif pada harga berpatutan.

Tambahnya, pelancaran kedua-dua pakej itu adalah seiring dengan hasrat KPDN untuk memperluas pelaksanaan Program Payung Rahmah agar turut meliputi segmen perlindungan diri dan harta benda (seperti kenderaan bermotor).

“Inisiatif Pakej Rahmah Insurans oleh Allianz General diperkenalkan melalui Insurans PerlindunganKu Allianz4All yang menawarkan perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

“Pemegang polisi yang dimasukkan ke hospital kerajaan akibat sakit atau kemalangan akan menerima dua manfaat baharu iaitu pembayaran balik perbelanjaan perubatan dan bayaran bantuan kecemasan sekiranya berlaku pemindahan banjir sehingga RM750.

“Manfaat baharu itu ditambah tanpa kos tambahan, dengan premium tahunan pada kadar RM53 dan RM79.50 (termasuk cukai jualan),” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN di Putrajaya semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulau itu berkata Allianz General turut memperkenalkan perlindungan MotorcyclePlus yang bakal menawarkan perlindungan tambahan seperti kemalangan diri sehingga RM10,000 untuk penunggang dan pembonceng motosikal.

Bagi pemegang polisi Allianz MotorcyclePlus Komprehensif pula, pemegang polisi menikmati perlindungan Peril Khas dan Bantuan Tepi Jalan sehingga 50 kilometer dan Faedah Bantuan Banjir sebanyak RM1,000 tanpa kos di samping perlindungan sedia ada yang dinikmati oleh pelanggan Allianz MotorcyclePlus. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button