Semasa

PM umum geran RM50 juta untuk Yayasan Hasanah

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim,  mengumumkan geran padanan berjumlah RM50 juta kepada Yayasan Hasanah yang diperuntuk melalui Belanjawan 2023 di bawah Geran Khas Hasanah 4.

PM harap geran beri manfaat sewajarnya

Anwar yang juga Menteri Kewangan bersempena Forum Hasanah dan Persidangan Global Asia Venture Philanthropy Network (AVPN) 2023 berkata kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Yayasan itu membolehkan pembiayaan terbesar daripada kerajaan kepada masyarakat serta perusahaan.

“Saya amat menghargai sokongan dan kepimpinan Yayasan Hasanah serta Khazanah Nasional. Geran Khas Hasanah juga membolehkan pertumbuhan ketara bagi penjanaan pendapatan dalam kalangan masyarakat rentan,” katanya.

Anwar berkata begitu dalam ucaptama dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Yayasan Hasanah dan AVPN kerana mengorak langkah penting menangani isu kesejahteraan mental dalam kalangan belia di Asia dengan penubuhan Dana Terkumpul Dermawan Kesejahteraan Mental Belia Asia.

Sehubungan itu beliau berharap dana yang diberi dapat digunakan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental di seluruh Malaysia dan rantau ini dengan menggalak serta menggerakkan lebih banyak janaan modal dalam kalangan penderma.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, pemikiran untuk membunuh diri dalam kalangan belia berkembang sejak sedekad lalu seperti pada 2017, ia adalah 10 peratus dan jumlah ini meningkat kepada 13 peratus pada 2022.

“Kemurungan juga meningkat dengan angka terkini menunjukkan seorang daripada empat belia mengalami kemurungan. Saya bayangkan jumlahnya juga meningkat di negara lain.

“Jadi amat penting khususnya bagi belia kita mempunyai akses kepada sumber yang betul dan tempat selamat kerana mereka adalah masa depan Malaysia dan semua negara yang diwakili di sini hari ini,” katanya dipetik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button