Nasional

Mindef luluskan 43 permohonan rumah veteran ATM

SEBANYAK  43 permohonan bagi membina rumah baharu menerusi Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diluluskan sehingga Jun ini.
Mindef usaha dapatkan peruntukan lebih besar

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, dalam tempoh yang sama juga, kementerian telah menyiapkan pembaikan membabitkan 169 rumah veteran ATM yang mengalami kerosakan di seluruh negara.

Tidak setakat itu, kementerian jelasnya berhasrat untuk membina lebih banyak kediaman baharu serta membaik pulih rumah veteran ATM dari semasa ke semasa.

“Setiap tahun, permintaan bagi pembinaan rumah baharu ini menunjukkan peningkatan. Pada tahun lalu, jumlah peruntukan adalah untuk membina 25 buah rumah dan jumlah itu meningkat kepada 43 yang telah diluluskan.

“Di peringkat kementerian, penilaian sentiasa dilakukan kerana kita mengambil maklum inisiatif Perumahan Veteran ATM amat membantu golongan veteran kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri,” katanya selepas menyerahkan rumah veteran ATM kepada balu anggota di Jalan Jaya Ayer Baloi, di Pontian semalam. 

Sementara itu tambah Adly, kementerian akan cuba mendapatkan peruntukkan yang lebih tinggi menerusi Bajet bagi memastikan Inisiatif Perumahan Veteran ATM dapat diteruskan meskipun berdepan cabaran kenaikan kos barang binaan. 

Jelasnya, cabaran kenaikan kos pembinaan rumah tersebut tidak menjejaskan hasrat kementerian untuk berusaha menyediakan rumah serta membaik pulih kediaman veteran ATM.

Dalam pada itu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berharap anggota veteran ATM dapat mengemaskini data dan maklumat diri menerusi portal Veteran Integrated Benefit System (Vibes 2.0).

Menerusi sistem pangkalan data baharu tersebut, katanya, keupayaan pengurusan, pemantauan, pelaporan maklumat warga veteran dan waris akan lebih berkesan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button