PM lancar ‘Kejiranan Madani’ tawar peluang B40 dan M40 miliki kediaman sendiri
Usaha kerajaan pastikan rakyat miliki kediaman |
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat bahawa kerajaan akan membangunkan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan untuk golongan M40, B40 serta rentan miskin bermula tahun ini.
Bercakap pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong semalam, Anwar berkata pembangunan tersebut bakal merangkumi beberapa pembangunan perumahan mampu milik yang dibuka untuk dijual dan disewa.
Ia antaranya membabitkan beberapa komponen pembangunan termasuk Residensi Prihatin Madani bagi golongan M40 yang berpendapatan isi rumah RM7,000 sebulan ke bawah, dengan unit ditawarkan berkeluasan 800 kaki persegi dan nilai jualan RM200,000.
Sementara itu, kumpulan B40 dengan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan boleh membeli unit kediaman “Madani” seluas 750kps dengan harga RM180,000.
“Bagi yang berpendapatan RM4,000 ke bawah, khas untuk golongan bujang atau belia dan pasangan yang baharu berkahwin serta berusia 30 tahun ke bawah, akan ditawarkan Residensi Sejahtera Madani, dengan harga RM150,000 dan keluasan 700 kaki persegi,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menjelaskan dibawah skim tersebut, kumpulan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli rumah untuk didiami ditawarkan dua skim bagi membolehkan mereka menyewa kediaman di bawah Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan.
Ia membabitkan Rumah Majlis Madani untuk golongan M40 dan B40 dengan kadar sewa dikenakan adalah RM600 sebulan untuk lima tahun dan Rumah Ihsan Madani bagi golongan B40 serta rentan miskin, dengan kadar sewa RM300 sebulan, juga untuk lima tahun.
Beliau yang juga Menteri Kewangan sementara itu menegaskan rumah yang dibeli tidak boleh dijual kepada orang lain dan hanya boleh diwariskan kepada ahli keluarga sendiri.
“Sekiranya pemilik mahu menjualnya, hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur boleh membelinya. Ini bagi penting bagi memastikan pembangunan ini mencapai matlamatnya,” katanya.