Sukan

KBS lancar dua segmen baru dalam Rakan Muda

KEMENTERIAN Belia dan Sukan pada Ahad melancarkan dua segmen baharu dalam jenama Rakan Muda iaitu Rakan Demokrasi dan Rakan Litar .

Segment baharu lebih dekat dengan hati anak muda

Menterinya, Hannah Yeoh berkata pengenalan Rakan Demokrasi bersesuaian dengan keputusan kerajaan yang sebelum ini telah menurunkan hak mengundi kepada golongan belia berusia 18 tahun.

“Melaluinya, kita nak pastikan golongan belia yang diberi hak dalam mengundi mereka ada pengisian, pendidikan berterusan dalam segenap aspek demokrasi untuk kita bantu mereka, beri lebih kefahaman.

“Rakan Litar pula diperkenal selari dengan gaya hidup golongan muda ketika ini yang memperlihatkan keterlibatan dan populariti sukan permotoran itu semakin meningkat,” jelasnya dalam sidang media selepas pelancaran Rakan Muda oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mengulas lanjut Hannah berkata, lapan lagi gaya hidup Rakan Muda ialah Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Beliau berkata inisiatif Rakan Muda yang diberi nafas baharu itu diharap mampu menarik minat lebih ramai anak muda dan menyasarkan penyertaan lebih sejuta golongan berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.

“Oleh itu, kita sarankan setiap kementerian yang ada apa-apa sahaja program dengan anak muda, melibatkan golongan belia, sila gunakan platform Rakan Muda ini, logo Rakan Muda… contohnya, Kementerian Kewangan buat program kewangan atau usahawan, kita boleh letak di bawah Rakan Niaga.

“Selain itu, di peringkat negeri, kita beri kebebasan untuk adakan program, terpulang pada hala tuju mereka namun kita di peringkat persekutuan, akan sentiasa pantau bagi memastikan ia di landasan tepat,” jelasnya. 

Beliau turut memberitahu semua aktiviti dan perancangan berkaitan Rakan Muda bagi tahun ini adalah berdasarkan peruntukan sedia ada selain usaha kementerian mengadakan kerjasama dengan rakan strategik seperti foodpanda, Grab, Lazada dan Shopee.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button