Global

Tuntutan Sulu: Kemenangan Malaysia bukti kerajaan pertahan kedaulatan

SIRI kemenangan Malaysia dalam kes tuntutan kumpulan Sulu di mahkamah antarabangsa membuktikan bahawa kerajaan berjaya mempertahan hak, harta serta kedaulatan negara ini.

Kejayaan hasil kerjasama semua pihak

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kemenangan Malaysia di Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan Paris di Perancis boleh menjadi penutup kepada segala usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merampas hak serta harta negara ini.

“Ini juga membuktikan dakwaan kumpulan tersebut adalah gagal dan tidak boleh dilayan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Annual General Meeting Fireside Chat With Communication and Digital Minister’ di Kuala Lumpur pada Selasa. 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Anwar berkata ia sekali gus menghalang apa-apa usaha pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.

Sementara itu, Fahmi menyifatkan kejayaan terbaharu itu  juga merupakan hasil kerjasama antara pihak terlibat yang berusaha serta bersatu hati dalam mempertahan hak, harta dan kedaulatan Malaysia. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button