Subsidi bersasar akan dijalankan secara berperingkat
KERAJAAN sedang berperingkat memansuhkan sistem subsidi menyeluruh ke arah pelaksanaan sistem subsidi bersasar, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Peralihan memerlukan rancangan yang teliti |
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, walaupun langkah itu tidak mudah, namun ia bagi mengimbangi tanggungan subsidi dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Tambahnya peralihan fasa ke fasa ke arah sistem subsidi yang disasar memerlukan pembiayaan dan dasar fiskal yang betul.
“Subsidi menyeluruh sudah menjadi ciri dalam ekonomi Malaysia selama beberapa dekad. Bukan perkara mudah untuk cuba perlahan-lahan membawa semua orang untuk menghapuskan sistem subsidi menyeluruh tetapi kerajaan telah melakukannya.
“Saya berasa amat lega kerana kita telah mengambil langkah itu dan teguh bertahan dalam tempoh enam bulan lalu. Bagi subsidi elektrik ia telahpun dilakukan dan seterusnya kita akan beralih kepada subsidi diesel dan petrol. Ia juga merupakan satu cabaran untuk mencapai keseimbangan antara pembiayaan dan keupayaan,” katanya.
Rafizi berkata demikian pada sesi peringkat menteri mengenai “Policies and Pathways for Sustainable Asia” di persidangan Energy Asia 2023 yang berlangsung, di Kuala Lumpur pada Isnin
Sementara itu beliau berkata bagi ekonomi seperti Malaysia, kerajaan perlu merancang kesemuanya supaya akan ada peralihan mengikut fasa demi fasa kerana kerajaan perlu memastikan akan ada pembiayaan dan dasar fiskal yang betul ke arah itu.
“(Selain itu) insentif yang tepat untuk masyarakat bergerak secara berperingkat bagi menjauhi bahan api fosil dan lebih kepada tenaga hijau selain memastikan bahawa kita akan dapat memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam minyak dan gas atau industri lain untuk membawa keupayaan yang betul dalam pasaran demi membina ekonomi hijau dan peralihan tenaga.
“Pada akhirnya, rakyat perlu merasai perubahan dalam peralihan tenaga, mereka perlu menghargai bahawa kerajaan sedang menguruskan risiko iklim dan pada masa sama mereka perlu menjadi sebahagian daripada ekonomi ini,” tambahnya lagi..