Semasa

Kerajaan mansuhkan 80 peratus hutang peneroka

PERDANA MENTERI yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula pinjaman agensi berkenaan.

Kerajaan laksana penstrukturan semula pinjaman

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, perjanjian itu melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Jelas kenyataan itu, sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang agensi itu bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Jaminan Kerajaan itu juga akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkannya memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada tahun 2021.

Kata Kementerian Kewangan, Jaminan Kerajaan itu dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan Felda serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan.

Ia bagi memastikan agensi itu terus berupaya mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu Felda.

Di samping itu, kerajaan juga telah menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada Felda sebagai agensi badan berkanun kerajaan dengan melantik Amanah Raya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun bagi memastikan pelan transformasi Felda berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti.

Kerajaan juga telah bersetuju memberi Jaminan Kerajaan kepada Felda pada tahun 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi Felda yang telah bermula pada tahun 2020 untuk tempoh lima tahun.

-AA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button