Kerajaan bangun kerangka Dasar Gaji Progresif
KEMENTERIAN Ekonomi sedang memfokuskan usaha membangunkan kerangka Dasar Gaji Progresif bersama-sama Kementerian Sumber Manusia untuk pertumbuhan gaji yang lebih sekata dan inklusif.
Kerajaan fokus ringan beban kos sara hidup |
Menterinya Rafizi Ramli berkata, langkah itu selari dengan matlamat kerajaan untuk memastikan gaji dan pendapatan rakyat naik secara berkala, setimpal dengan kenaikan kos sara hidup yang seterusnya mendorong kepada gaji dan pendapatan yang lebih baik kepada semua pekerja terutamanya golongan muda.
Kerajaan jelasnya tidak mahu isu kos sara hidup rakyat ditangani secara sedikit-sedikit sebaliknya dilakukan secara bersepadu, tidak melihat kepada satu atau dua aspek sahaja.
“Di mata rakyat, setiap kali kita bicara kos sara hidup, ia berkisar macam mana kerajaan nak beri subsidi, nak turunkan harga, tapi sebenarnya ada aspek penting yang lain.
“Kalau pun kerajaan tumpu 100 peratus soal harga barang tapi tidak berusaha melalui dasar untuk menaikkan gaji rakyat secara setimpal, maka masyarakat kita akan terus bergelumang dengan masalah kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) Mei 2023 di Putrajaya pada Rabu.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menjelaskan, usaha membangunkan Dasar Gaji Progresif itu tidak pernah disentuh pentadbiran-pentadbiran sebelum ini secara menyeluruh.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara mana-mana pentadbiran mengusahakan satu kerangka dasar khusus mengenai pertumbuhan gaji yang sekata dan inklusif kepada semua pekerja.
“Fokus kepada pertumbuhan gaji juga akan menjadi tema utama perancangan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia yang akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, kertas dasar mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam bulan Ogos 2023 untuk mendapat panduan dari kepimpinan negara.