Nasional

Pelajar IPTA bakal terima manfaat e-kredit tiket penerbangan

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN (MoT) akan memperkenalkan satu inisiatif bagi meringankan beban kewangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya dari Sabah dan Sarawak yang terbeban dengan harga tiket penerbangan untuk pulang semasa perayaan dan cuti semester. 

Usaha baharu ringan beban kos hidup pelajar

Menterinya Anthony Loke, berkata inisiatif tiket penerbangan dalam bentuk kredit itu dijangka dapat diperkenal mulai Ogos nanti memandangkan ia kini masih dalam langkah integrasi bersama syarikat-syarikat penerbangan.

“Mereka (mahasiswa) akan menerima satu bentuk e-kredit yang akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing untuk pembelian tiket kapal terbang dan jika syarikat penerbangan ada menawarkan diskaun, ia juga lebih berbaloi.

“Kita jangka ia dapat dilancarkan pada Ogos, sebelum sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan laluan penerbangan baharu syarikat penerbangan tambang murah MyAirlines ke Bangkok, di Kuala Lumpur, pada Jumaat. 

Tambahnya, melalui inisiatif itu kelak, ia dijangka dijangka mampu memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar IPTA terutamanya dalam keluarga B40.

Sementara itu beliau mengingatkan pemain industri penerbangan tempatan mempunyai peranan penting, khususnya dalam membantu meringankan pelajar.

Bagi pelajar antara Semenanjung dan Sabah-Sarawak, pengangkutan udara jelasnya merupakan satu-satunya mod pengangkutan awam pilihan mereka.

Sehubungan itu beliau mengumumkan tawaran diskaun tambang dan bagasi percuma kepada golongan pelajar oleh MYAirlines. 

“Dengan sukacitanya saya mengumumkan MYAirlines akan menawarkan diskaun tambang sebanyak 20 peratus dan bagasi 15kg percuma kepada pelajar (berumur 16-26) yang menaiki penerbangan domestik di bawah program ini.

“Melalui inisiatif MoT yang akan diperkenalkan itu dan Program Pelajar MYAirlines, pelajar kini boleh mengharapkan lebih banyak pilihan apabila melancong di dalam negara,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button