Negeri

KPDN bincang dengan Johor, tinjau peluang ekonomi di sempadan

PERBINCANGAN  antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kerajaan Negeri Johor bakal diadakan bagi memperkasa potensi ekonomi sempadan di negeri ini.

Malaysia mahu teroka peluang ekonomi sempadan

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perbincangan itu bagi meneroka potensi perniagaan di dua buah negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia.

Susulan itu jelasnya, satu jawatankuasa bersama antara kedua-dua pihak akan ditubuhkan agar perbincangan dapat dibuat secepat mungkin.

“Saya akan hubungi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam tempoh terdekat supaya mesyuarat khas dibuat agar kita dapat kenal pasti peluang dan lokasi strategik untuk pelaksanaan ekonomi sempadan ini.

“Perlu ada Jawatankuasa Bersama antara KPDN dengan kerajaan Johor untuk membangunkan secara besar-besaran mengenai prospek dan peluang ekonomi sempadan melibatkan Singapura dan Indonesia.

“Sebagai contoh, sektor perkhidmatan yang telah dibangunkan secara komersial adalah industri pembersihan seperti mencuci kereta yang memberi pulangan lumayan, jadi kenapa kita tidak teroka bidang lain untuk merancakkan lagi kegiatan ekonomi tempatan di kawasan sempadan kita,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menambah, KPDN juga akan melakukan libat urus dengan kerajaan Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua sempadan di wilayah Borneo itu juga memiliki potensi ekonomi komersial yang besar.

“Selepas Johor kita adakan sesi libat urus di Sabah dan Sarawak pula kerana sempadan sana mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan,” katanya melihat peluang dari limpahan ekonomi pembangunan ibu negara baharu Indonesia baharu iaitu di Nusantara.

“Jadi kita perlu ada perancangan awal, tidak boleh ketinggalan,” jelasnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button