Semasa

Penipuan eBelia Rahmah : KKD akan dapatkan maklumat untuk tindakan lanjut

KEMENTERIAN  Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil maklum isu penipuan program eBelia Rahmah yang dilapora media baru-baru ini. 

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pihak kementerian akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu daripada Kementerian Kewangan pada mesyuarat Kabinet yang akan diadakan hari ini sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

“Kita sedang menunggu sedikit maklumat daripada Kementerian Kewangan. Insya-Allah esok ada mesyuarat jemaah menteri saya akan dapatkan sedikit maklumat awal supaya kita boleh teliti.

“Sekiranya ia hanya melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atau aspek-aspek lain atau agensi-agensi lain,” jelasnya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir dalam program Hari Apresiasi Industri Kurier di Putrajaya pada Selasa. 

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini memaklumkan menerima 14 aduan penipuan e-Tunai Belia Rahmah melibatkan kerugian sebanyak RM2,800.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, sindiket berkenaan kononnya menawarkan perkhidmatan memindahkan wang dari akaun e-dompet Touch n Go ke akaun bank mangsa.

Kementerian Kewangan (MOF) pada minggu lalu memberi amaran supaya penerima bantuan eBelia Rahmah supaya tidak menerima tawaran penukaran kredit RM200 kepada wang tunai bagi mengelakkan mereka  menjadi mangsa penipuan.

MoF menyeru pengguna media sosial agar melaporkan kepada pengendali platform seperti Facebook atau Instagram jika mereka terjumpa iklan yang menawarkan untuk membantu penerima menunaikan kredit eBeliaRahmah mereka.

Related Articles

Back to top button