Pilihanraya

PRN di enam negeri ditetapkan 12 Ogos

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Ghani berkata, tempoh berkempen selama 14 hari bermula 29 Julai hingga 11 Ogos.

“Tarikh tutup (permohonan pengundian awal) bagi petugas pilihan raya, polis, tentera, petugas media pada 26 Julai, sementara rakyat Malaysia di luar negara dan agensi atau mana-mana organisasi masing-masing pada 8 Julai dan 11 Julai,” katanya pada sidang media khas sempena PRN enam negeri.

Beliau berkata, PRN enam negeri itu akan menelan kos RM420 juta, dengan 153,760 petugas dilantik mengendalikan proses pengundian di 3,450 pusat mengundi dan 17,425 saluran mengundi.

Menurutnya, bilangan pemilih yang terlibat dalam PRN kali ini adalah mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga Jun lalu.

“PRN ini mengguna pakai daftar pemilih sehingga 21 Jun lalu, iaitu 9,773,571 pemilih terdiri daripada 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 anggota tentera dan pasangan, 47,728 anggota polis dan pasangan serta 1,727 pengundi luar negara.

“SPR telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri Yang ke-14 bagi kesemua enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing,” katanya.

-AA

Related Articles

Back to top button