Semasa

Sultan Perak anugerahkan Felo Kehormat AAM kepada Dr Wan Azizah

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Jumaat berkenan mengurniakan Anugerah Felo Kehormat Akademi Perubatan Malaysia (AMM) kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penganugerahan itu diadakan pada Kongres Perubatan Malaysia-Singapura ke-56 sempena Kongres Antarabangsa MyWoman 2023 yang diperkenan dirasmikan oleh Sultan Nazrin di Kuala Lumpur.

Dr Wan Azizah, 71, merupakan pakar oftalmologi berkaitan pembedahan dan perubatan mata.

Sementara itu, beliau yang juga isteri Perdana Menteri semasa menyampaikan Syarahan Tun Ismail ke-24 bertajuk Pasca COVID-19: Kesihatan Mental Dalam Kalangan Wanita di Malaysia, berkata laporan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia dikeluarkan pada Oktober 2020 menyatakan insiden penyakit mental dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dua kali ganda semasa pandemik COVID-19.

Namun jelasnya dianggarkan 20 peratus rakyat Malaysia yang menghidap penyakit mental mempunyai akses kepada penjagaan profesional disebabkan stigma sosial.

Tambah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu lagi, prejudis dan diskriminasi terhadap individu yang menghidap penyakit mental menyebabkan golongan ini dipinggirkan dalam masyarakat dan senario itu boleh membawa kepada keburukan.

Katanya, beliau juga terkejut mendengar laporan mengenai individu-individu terkenal yang membunuh diri.

“Kita fikir mereka sangat berjaya, namun ada sesuatu yang disembunyikan dan kita tidak mahu sehingga keadaan sebegitu terjadi,” katanya.

Sehubungan itu beliau membuat gesaan agar semua pihak untuk membantu mempromosikan perkhidmatan yang menyediakan sokongan psikologi emosi dan kaunseling seperti Talian Kasih 15999 dan Talian Heal 15555.

“Rawat diri anda dahulu kemudian barulah anda boleh merawat orang lain, insya-Allah,” tambahnya sebagai pesanan semangat untuk doktor-doktor muda.

Related Articles

Back to top button