Nasional

Sistem kuota Melayu, Bumiputera dalam pendidikan dikekalkan

SISTEM kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika sistem itu tidak dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau ‘tempang’ jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.

“Beberapa prinsip dalam Perlembagaan negara tentang jaminan, peluang supaya anak-anak Melayu dan Bumiputera itu diberikan tempat yang mampu bersaing, ini kita kekalkan,” katanya semasa menjawab soalan seorang pelajar semasa program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Oleh yang demikian, beliau mencadangkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengekalkan kuota Bumiputera di universiti awam di samping membuka lebih banyak ruang kepada golongan berpencapaian tinggi daripada masyarakat lain.

“Ya, saya setuju kuota itu dikekalkan, tetapi kita mesti mencari jalan lain untuk memberi ruang kepada pelajar bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang cerdik dengan keputusan yang baik supaya tidak kelihatan seperti mereka terpinggir,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa kuota bertujuan membantu pelajar Bumiputera menjadi berdaya saing kerana mereka sebelum ini hanya sedikit dalam fakulti kejuruteraan dan perubatan universiti awam pada 1960-an dan 1970-an.

Bagaimanapun, katanya, kelemahan sistem sebegini ialah ia melemahkan meritokrasi.

“Mesti ada keseimbangan yang adil,” katanya sambil menunjuk kepada dasar tindakan afirmatif di Amerika Syarikat.

Tambahnya lagi, walaupun orang Melayu adalah antara yang termiskin di negara ini, yang paling miskin di antara orang miskin selalunya adalah etnik India.

“Tanggungjawab kita adalah untuk meningkatkan mereka,” katanya.

Beliau kemudian memberi amaran supaya tidak mempolitikkan tindakan sedemikian, terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini dengan wujudnya tindakan pihak tertentu yang menuduhnya melupakan orang Melayu.

-AA

Related Articles

Back to top button