Kerajaan Perpaduan komited kepada pelan pemulihan Felda – MOF
KERAJAAN PERPADUAN meluluskan jaminan sehingga RM9.9 bilion untuk Felda menerbitkan sukuk bagi menyempurnakan pelaksanaan pelupusan hutang peneroka, kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bermula tahun ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda yang antara lainnya membiayai hapus kira hutang peneroka.
“Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan pelan pemulihan Felda termasuk pelupusan hutang peneroka seperti yang pernah diumumkan akan diambil tindakan susulan untuk menyempurnakan pelaksanaannya.
“Malah tindakan susulan untuk menyempurnakan pelaksanaannya akan diambil,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan akan menyalurkan sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda melalui terbitan sukuk bagi memastikan kelangsungan organisasi itu.
Kabinet sebelum ini meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan, seperti dibentangkan Pasukan Petugas Khas melalui laporan pada Oktober 2020.
Kementerian itu dalam kenyataan 28 Jun lalu, memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, menandatangani perjanjian membabitkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu dengan sebahagian besar membabitkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.
Perjanjian itu antara lain akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan organisasi itu memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.