Pilihanraya

PRN: PH guna slogan ‘Kita Selangor’ tarik sokongan – Amirudin

Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan slogan ‘Kita Selangor’ sebagai tawaran kepada rakyat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata ‘Kita Selangor’ membawa mesej penting dan tersendiri kepada rakyat negeri itu dan digunakan secara meluas dalam program serta inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sejak diperkenal semasa pandemik Covid-19 melanda negara.

Beliau berkata slogan yang membawa aspirasi rakyat Selangor yang sentiasa bersatu padu dalam apa jua keadaan itu akan ditambah dengan perkataan atau ayat tertentu bagi disesuaikan dengan semangat dalam berpilihan raya.

“Untuk PRN ini, PH akan mengekalkan semangat atau tagline (slogan) ‘Kita Selangor’ yang telah saya perkenalkan dan menjadi aspirasi kepada kerajaan dan rakyat negeri ini semasa berhadapan pandemik Covid-19 serta beberapa cabaran lain seperti kegawatan eknomi dan bencana banjir.

“Bagi PH, ‘Kita Selangor’ itu sudah sarat dengan pengalaman, rekod perkhidmatan dan ia adalah realiti yang diterima secara nyata oleh rakyat ketika ini,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Slogan ‘Kita Selangor’ yang diperkenal sebagai inspirasi melawan Covid-19 dan kelembapan ekonomi pada 2021 mula digunakan secara rasmi dalam surat, urusan dan program rasmi kerajaan negeri bermula November tahun lepas.

Sejak itu, slogan tersebut terus digunakan dalam pelbagai acara, program dan inisiatif kerajaan seperti sambutan kemerdekaan peringkat negeri, pakej bantuan serta rangsangan ekonomi, jelajah kemasyarakatan selain turut diletakkan di belakang jersi ketiga pasukan bola sepak Selangor sebagai simbolik meraikan penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan Gergasi Merah itu.

Antara contoh program dan inisiatif yang digagaskan daripada slogan ‘Kita Selangor’ ialah ‘Kita Selangor Teguh Bersama’ sempena sambutan kemerdekaan, Pakej Kita Selangor 2.0 yang berkaitan ekonomi dan Jelajah Kita Selangor, iaitu program pimpinan kerajaan negeri turun bertemu masyarakat.

Related Articles

Back to top button