Anwar

Yakin pemimpin Kerajaan Perpaduan mampu stabilkan pentadbiran negara

Semangat dan kebersamaan dipamerkan pemimpin setiap komponen di bawah Kerajaan Perpaduan diyakini berupaya memberikan kestabilan kepada kerajaan sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat tersebut jauh lebih penting berbanding daripada melayan permainan politik berlandaskan perkauman sempit dan jumid yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat serta negara.

Menurut beliau, Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikannya semalam telah mengambil ketetapan untuk mengadakan Siri Jelajah Perpaduan Madani.

“Pelancaran Jentera Perpaduan yang telah berlangsung di Selangor tempoh hari akan diteruskan juga ke negeri-negeri lain.

“Ia melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu yang pastinya memerlukan perancangan betul dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. Moga semua yang dirancang ini berjalan lancar, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Turut dilihat hadir pada mesyuarat berkenaan ialah beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Selain itu, ia turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Related Articles

Back to top button