Nasional

STPM 2022: 1,184 calon peroleh PNGK 4.00

Seramai 1,184 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, kata Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman.

Beliau berkata ia sekali gus menyaksikan calon yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 meningkat berbanding tahun 2021 iaitu seramai 874 orang.

“Daripada 1,184 calon ini, seramai 1,009 calon atau 85.22 peratus daripadanya adalah daripada kategori B40,” katanya pada sidang media pengumuman Keputusan STPM 2022, hari ini.

Bagi PNGK Nasional STPM 2022, Mohd Ekhwan berkata ia juga telah meningkat kepada 2.82 pada tahun lepas berbanding 2.79 pada tahun sebelumnya.

“PNGK Nasional ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM,” katanya.

Mohd Ekhwan berkata dari segi pencapaian PNGK secara keseluruhannya, calon STPM 2022 yang memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas ialah 9.59 peratus manakala PNGK 3.00 dan ke atas ialah 42.96 peratus.

“Bagi PNGK 2.75 dan ke atas ialah 56.97 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2021,” katanya.

Mengenai jumlah calon mendaftar STPM 2022, beliau berkata seramai 43,687 calon telah mendaftar namun 41,701 calon yang hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.

“Daripada 41,701 calon yang hadir, sebanyak 99.98 peratus atau 41,694 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2022, manakala hanya 0.02 peratus atau tujuh calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini,” katanya.

Ditanya mengenai 1,986 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu, beliau berkata ia disebabkan beberapa faktor seperti calon-calon telah mendapat pekerjaan, menyambung pelajaran ke peringkat diploma atau program lain, sakit atau meninggal dunia.

Related Articles

Back to top button