ekonomiGlobal

Kemasukan Tesla tarik lebih ramai pelabur ke Selangor – Amirudin

Kehadiran Tesla Inc di Selangor akan menarik lebih banyak syarikat pelabur antarabangsa ke negeri itu, kata Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor berkata, ia juga akan meningkatkan keinginan generasi muda untuk mendalami bidang teknologi tinggi khususnya dalam industri tenaga bersih.

Justeru, kerajaan Negeri Selangor menyambut baik dan bersedia memudah cara kemasukan syarikat kenderaan elektrik tersebut yang akan membuka Ibu Pejabat, Pusat Servis, dan Pusat Pengalaman di negeri itu pada tahun ini.

“Pejabat Daerah serta pihak berkuasa berkait pula sudah bersedia untuk menyelaraskan proses kemasukan pelaburan berkenaan.

“Pelaburan ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas, dan van.

“Perkembangan ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang memiliki kemudahan internet 5G paling cekap di Asia Tenggara sebagai bagi menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara, seterusnya menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada warga Selangor khususnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan secara maya dengan usahawan aeroangkasa terkemuka dunia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX dan Tesla Inc, Elon Musk.

Dalam persidangan video tersebut, PM Anwar mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat itu di negara ini dan juga kesediaan usahawan tersebut untuk datang ke Malaysia.

Related Articles

Back to top button