Semasa

Setiausaha Politik beri penjelasan status kenderaan digunakan Anwar

Setiausaha politik kepada Perdana Menteri tampil menjawab isu kenderaaan digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dipersoal Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard,

Ahmad Farhan Fauzi melalui satu kenyataan berkata, bagi kenderaan Jaguar jenis XJ Premium Luxury V6 dengan nombor pendaftaran VCQ 8055, ianya adalah kereta terpakai berusia lebih 10 tahun sumbangan seorang simpatisan reformasi kepada Yayasan Aman pada tahun 2020.

“Ianya digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau tidak menjawat apa-apa jawatan di dalam pentadbiran kerajaan.

“Walaupun didaftarkan di atas nama Yayasan Aman, kos penyelenggaraan kereta tersebut beserta insurans dan cukai jalan adalah ditanggung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan duit peribadi beliau dan tiada langsung dana dari Yayasan Aman digunakan untuk kenderaan tersebut,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan sama Ahmad Farhan turut menjelaskan status kenderaan BMW 7 Series dengan nombor pendaftaran BEM 1 yang digunakan Anwar sepanjang kempen Pilihan Raya Umu (PRU) lalu.

Kenyataan beliau konsisten dengan apa yang dimaklumkan Anwar sebelum ini bahawa ia adalah pinjaman ihsan seorang ahli perniagaan bumiputra yang digunakan untuk kempen dan kenderaan tersebut telah dipulangkan kepada ahli perniagaaan tersebut sejurus selepas Anwar menerima kereta rasmi kerajaan;

Farhan pada Khamis membuat laporan polis terhadap Chegubard Wan Saiful Wan Jan (Wan Saiful) dan Raggie Jessy Rithaudeen (RJ) susulan beberapa kenyataan fitnah yang didakwa dilontarkan terhadap Anwar.

Beberapa bukti berkaitan kediaman peribadi Anwar di Sungai Long yang sebenarnya dipajak bagi tempoh 10 tahun sejak 2020 iaitu ketika Anwar masih Ketua Pembangkang turut diserah kepada pihak berkuasa.

Turut diserahkan adalah dokumen berkaitan aset-aset lain kepunyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terutamanya lot tanah di Port Dickson yang boleh dirujuk kepada Akuan Berkanun beliau bertarikh 9hb
November 2022.

“Adalah jelas bahawa kesemua kenyataan-kenyataan tersebut adalah tidak berasas, berniat jahat, bermotifkan politik dan kesemua bukti-bukti yang kukuh dan konklusif serta menyeluruh telah dikemukakan kepada pihak polis,” tambah Ahmad Farhan.

Related Articles

Back to top button