Setiausaha Politik Menteri Kewangan sifatkan Sanusi tandus moral politik
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menyelar Pengerusi PAS dan PN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor
Merujuk ucapan Sanusi dalam satu ceramah di Selangor baru-baru ini, Muhammad Kamil menyifatkan Sanusi sebagai seorang yang sasau serta ketandusan idea dan moral politik.
Sanusi tegasnya sekali lahi mengalihkan fakta sejarah dan melemparkan fitnah berbentuk serangan peribadi terhadap Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim.
“Adalah bukti jelas bahawa Sanusi tidak layak untuk menjadi pemimpin yang sepatutnya mempamer nilai akhlak dan moral yang tinggi.
“Tindakan penafian dan penyelewengan fakta dan saranan Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan kerajaan perpaduan hari ini serta singgungan terhadap pelantikan menteri besar Selangor adalah merupakan penderhakaan nyata terhadap kedaulatan institusi di-raja dan Raja-raja Melayu.
“Fitnah yang dilemparkan terhadap perdana menteri di khalayak umum tanpa segan silu jauh tersasar daripada akhlak Islamiyah yang sepatutnya dijelmakan oleh pemimpin parti yang memperjuangkan dasar Islam,” katanya dalam kenyataan media.
Terdahulu tular satu rakaman video memaparkan Sanusi mendakwa tiada sebarang titah dari pihak Istana Negara supaya dibentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
Selain itu Sanusi turut dilaporkan memperlekehkan pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar oleh Sultan Selangor.
Tidak sekadar itu, Sanusi juga dilihat mempersendakan keadaan fizikal Amirudin.
Sementara itu Kamil mempersoalkan apakah kenyataan berunsur fitnah dan penghinaan kini sudah menjadi modal utama Sanusi untuk terus meraih sokongan politik murahan.
“Saya menyeru masyarakat untuk menilai dengan bijaksana. Negara tidak perlukan pemimpin yang sering bercakap dengan nada yang tidak siuman dan tanpa akhlak yang baik, sebaliknya mengangkat budaya politik idea dan moral yang tinggi,” katanya.