Dasar tangani perlombongan haram REE bakal diwujudkan elak negara rugi
Satu dasar persekutuan bakal dirangka bagi menangani isu perlombongan haram unsur bumi (REE) bagi memastikan negara tidak mengalami kerugian dari aktiviti itu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang media di Putrajaya berkata, dasar itu akan merangkumi prosedur operasi standard (SOP) dari huluan sehingga hiliran.
Ia bagi memastikan hasil bumi itu tidak disia-siakan dan dapat memberi keuntungan kepada pendapatan negara.
“Kebimbangan kita adalah kita tidak mahu REE dieksport dalam keadaan mentah dan tak dapat tambah nilainya.
“Kita tahu permintaan terhadap REE tinggi, dengan peralihan tenaga (pada masa ini),” jelasnya.
Naib Presiden KEADILAN itu berkata demikian sebagai mengulas insiden kecurian REE terbaru di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, Kedah di mana polis dilaporkan telah menahan sembilan individu terbabit aktiviti itu pada 21 Jun lalu.
Sementara itu Nik Nazmi memaklumkan kementeriannya telah diberi tanggungjawan menyelaraskan perkara itu secepat mungkin bagi memastikan unsur nadir bumi dilombong secara lestari.
Walau bagaimanapun jelasnya beliau mahu memastikan keseimbangan antara sumber asli dan alam sekitar.