Mahkamah

Mohon maaf tak selesai kesalahan hina raja, Azalina beritahu Sanusi

Tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan selesai menerusi permohonan maaf kepada Sultan Selangor susulan kenyataannya yang didakwa memperlekehkan Baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata permohonan maaf bukan pembelaan daripada segi undang-undang dalam perundangan jenayah.

“Sesiapa sahaja yang membangkitkan isu-isu yang membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi raja-raja harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Dan tidak akan selesai atas alasan memohon maaf kerana permohanan kemaafan bukan satu pembelaan dari segi undang- undang dalam perundangan jenayah,” kata Azalina dalam satu kenyataan.

Azlina mengulas tindakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu dalam ceramah politik didakwa mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan pemilihan Menteri Besar negeri itu.

Kata Azalina, walaupun kebebasan bersuara merupakan hak perlembagaan setiap warga Malaysia di bawah Perkara 10(1)(a) PP namun ia tertakluk kepada Perkara 10(2) PP bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.

“Sebagai orang politik atau mana-mana orang yang dikurniakan kuasa, harus sedar bahawa pertuturan kita ada kuasa untuk mempengaruhi orang ramai, terutama sekali dalam musim pilihanraya,” katanya.

Justeru beliau meminta supaya Polis Diraja Malaysia diberi kebebasan untuk membuat siasatan terhadap sesiapa yang membangkitkan isu kaum, agama dan raja atau 3R tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Terdahulu, Sanusi telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung ucapan beliau yang mencetuskan kontroversi.

Menurut beliau, pegawai istana Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah tersebut semalam.

Katanya, warkah itu menjelaskan konteks dan maksud sebenar ucapan yang didakwa sengaja diputarbelitkan.

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda tuanku sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

“Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” katanya dalam kenyataan.

Related Articles

Back to top button