Nasional

PM umum Sumbangan Asas Rahmah (Sara), bantu miskin tegar

Seramai 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berjumlah RM600 mulai Isnin depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu pada ucaptama Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di sini pada Jumaat.

Jelasnya, pemberian bantuan itu menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.

“Perincian berhubung Program Sara ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu Anwar turut menjelaskan kerajaan sentiasa mengambil perhatian terhadap kebajikan golongan B40.

Untuk itu kerajaan memperkenal Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan tersebut mendapat rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) dengan peruntukan RM100 juta.

“Melihatkan kepada sambutan menggalakkan dan keberkesanan skim ini, kerajaan juga bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan ke tujuh negeri lagi di bandar kependudukan tinggi seperti Klang, Johor Bahru dan Kuching,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button