Politik

Sanusi jadi biadap kerana contohi sikap Abdul Hadi , dakwa AMK Selangor

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kassim menyifatkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersikap biadap kerana mencontohi apa yang dilakukan prPresiden Parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketika dihubungi Media Madani, Muhammad Izuan berkata, tindakan biadap seumpama ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh pemimpin Pas, malah pernah dilakukan oleh Presiden mereka sendiri.

“Dulu Presiden Pas (Hadi) pun keluarkan kenyataan bahawa titah Agong tidak boleh dijadikan sebagai kata putus.

“Jadi apabila Presiden (Hadi) sudah bercakap begitu, maka anak-anak buah (termasuk Sanusi) pun jadi berani cakap macam itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau merujuk perbuatan biadap Sanusi yang mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Sementara itu tambah Muhammad Izuan, beliau merasa bimbang perlakuan biadap seumpama itu terus dibiarkan, ianya akan memberikan ruang dan peluang untuk pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain melakukan perbuatan yang sama.

“Kalau dimulakan oleh Hadi dan disambung oleh Sanusi, tidak mustahil akan ada ramai lagi pemimpin-pemimpin Pas yang akan berani mengeluarkan kenyataan menghina terhadap Raja-Raja Melayu,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Izuan menggesa pihak berkuasa segera menyiasat serta mengambil tindakan yang disifatkan melampau dan menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Beliau turut berharap agar semua ahli politik menghormati institusi diraja dan tidak menjadikannya sebagai bahan politik.

Sebagai rekod, Abdul Hadi sebelum ini pernah dianggap sebagai biadap apabila tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu.

Ia susulan kenyataan ahli parlimen Marang itu yang mengakui ada ada usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Abbas Azmi pada Mac menghantar memorandum ke Istana Negara memohon pertimbangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menarik semula gelaran ‘Tan Sri’ yang dianugerahkan kepada Timbalan Pengerusi PN itu.

Sebelumnya pada November tahun lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, mendakwa penulisan Abdul Hadi secara terbuka berhubung pelantikan Anwar sebagai perdana menteri kelihatan derhaka apabila menuduh pihak Istana tidak berlaku adil.

Related Articles

Back to top button