756 individu di Negeri Sembilan dapat manfaat Program MyLesen B2
Seramai 756 individu dari tujuh daerah di Negeri Sembilan memperoleh manfaat daripada Program MyLesen B2 yang diperkenal Kerajaan Perpaduan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, Kerajaan Perpaduan memahami pentingnya lesen B2 dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi mereka terutama dalam kalangan masyarakat di luar bandar.
“Melalui program ini, Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ ) dan institut memandu terlibat akan pergi ke lokasi terpilih berhampiran kediaman untuk memberi kursus dan ujian bertulis tanpa perlu penerima program membuat perjalanan jauh ke institut memandu,” katanya.
Beliau berkata begitu ketika berucap pada majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Orang Titi di Jelebu.
Turut hadir pada pelancaran itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MoT) Datuk M.Jana Santhiran dan Ketua Pengarah JPJ Rospiagos Taha.
Daripada 756 penerima manfaat itu, seramai 363 penerima adalah daripada masyarakat Orang Asli.
Sementara itu Loke menjelaskan program MyLesen merupakan inisiatif kerajaan membantu golongan B40 mendapatkan lesen memandu sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan terutamanya ekonomi gig.
Ia bagi menggalakkan penunggang motosikal mengamalkan pengendalian yang cekap dan selamat seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan jalan raya.
Kementerian memperuntukkan RM2.7 juta bagi melaksanakan Program MyLesen B2 melibatkan 9,000 penerima pada tahun ini.