SemasaTeknologi

Kerajaan rancang pasang peranti satelit Starlink, selesai isu internet di IPT

Susulan persidangan video secara maya Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk pada Jumaat, kerajaan bercadang menggunakan teknologi terkini bagi menaik taraf capaian internet di kampus.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu capaian internet di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah keutamaan kerajaan selepas menerima aduan daripada pelajar hasil lawatan beliau ke beberapa buah universiti di seluruh negara.

Untuk itu kerajaan bercadang memasang 40 peranti satelit Starlink di IPT seluruh negara sebagai usaha menyelesaikan masalah dihadapi pelajar itu.

“Saya melawat universiti dan mendengar rungutan daripada pelajar yang bertanya, ‘Dato Seri, bagaimana kita boleh belajar sedangkan internet perlahan’.

“Jadi apabila Elon Musk bercakap dengan saya, saya beritahu Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) semalam untuk beli (peranti Starlink) dengan segera dan kita akan pasang di mana saja universiti yang perlu.

“Elon kata dia boleh berikan kita 40 peranti. Dia juga memberi jaminan semalam bahawa jika kita memerlukan lebih banyak unit, kita juga boleh beli untuk pemasangan di kawasan luar bandar,” katanya pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan sebelumnya hadir pada program Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Amanjaya, Sungai Petani.

Mengulas lanjut mengenai teknologi telekomunikasi baharu itu, Anwar menjelaskan pihaknya turut bercadang memperluas pemasangan peranti itu di kawasan luar bandar bagi membantu usahawan luar bandar.

“Tetapi kita mulakan dengan universiti, politeknik, dan sekolah (terlebih dahulu) yang memerlukan akses internet.

“Peranti ini kecil tetapi ia boleh menukar sambungan internet yang perlahan kepada sambungan segera. Jika tiada internet di sini, ia akan menyediakan internet kerana ia dipautkan secara langsung kepada satelit,” ujar beliau lagi.

Sementara itu tambah Anwar, pelaburan orang terkaya dunia itu di Malaysia adalah berdasarkan kepercayaan syarikat berkenaan dengan kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara ini.

“Dia tahu saya mengetuai kerajaan yang stabil. Dia tahu Anwar, bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memastikan kerajaan yang kukuh dan jelas dasar ekonomi.

“Beliau mahu tahu ke mana hala tuju kita, keutamaan kita iaitu ekonomi luar bandar, keselamatan makanan dan ekonomi digital,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Related Articles

Back to top button