Nasional

Konsep Karnival Kita Madani jadi wadah sambutan Bulan Kebangsaan

Semangat sambutan Bulan Kebangsaan yang bermula hari ini akan dirancakkan ke seluruh negeri dan daerah yang mengetengahkan konsep Karnival Kita Madani.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, konsep itu berorientasikan kepelbagaian dalam perpaduan yang bersandarkan kepada aspirasi Malaysia Madani.

Katanya, satu daripada usaha tersebut adalah melalui Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan pergi ke semua negeri melibatkan 132 poin iaitu 66 di Semenanjung Malaysia dan baki di Sabah dan Sarawak serta Labuan.

Tambahnya, program itu berkonsepkan konvoi berkenderaan yang akan membawa bendera Malaysia menyelusuri seluruh negara menerusi penyerahan Jalur Gemilang antara satu negeri dengan negeri lain.

“Marilah kita meraikan sambutan Bulan Kebangsaan kali ini dengan penuh rasa kesyukuran atas izin-nya dan juga kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah berjaya mengemudi dan memacu negara ke arah masa hadapan yang lebih mampan seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, hari ini.

Jelas beliau lagi, banyak lagi program akan dianjurkan yang akan diterajui kementeriannya dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau menyeru semua mengibarkan bendera Malaysia bagi menunjukkan semangat cintakan negara dan memeriahkan lagi Bulan Kebangsaan.

Related Articles

Back to top button