Negeri

Sanusi pernah kena denda kerana curi REE, dedah Menteri KDN

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pernah didenda RM500,000 kerana kesalahan mencuri unsur nadir bumi (REE) tahun lalu, dedah Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, denda itu dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ke atas Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah kerana kegiatan yang dilakukan di Sik.

“Malam ini saya nak tanya dengan Sanusi sebagai pengerusi MBI, ada tak dapat surat daripada Datuk Fauzi Mustafa selaku Pengarah PTG Kedah pada hujung tahun lalu?

“Surat itu mengkehendaki MBI membayar kompaun RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong, Sik. Kamu Menteri Besar, kamu Pengerusi MBI, surat itu bertarikh 4 Oktober 2022.

“Dialamatkan kepada Pengerusi MBI, kompaun di bawah Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara dalam kejadian 2.30 petang, 24 September 2022 kerana curi REE, yang tandatangan Datuk Fauzi,” katanya.

Saifuddin membuat pendedahan itu ketika berucap pada Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak di sini, malam tadi.

Sehubungan itu beliau mencabar Muhammad Sanusi menjelaskan perkara berkenaan dan menafikan sama ada beliau terbabit dalam kegiatan mencuri REE.

Sementara itu Saifuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya akan terus mendedahkan kepincangan yang dilakukan Muhammad Sanusi bagi membolehkan rakyat membuat pilihan tepat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Khamis lalu, polis Kedah membongkar kegiatan pemerdagangan manusia dan kecurian REE di Bukit Enggang, Sik selepas menahan sembilan individu hujung bulan lalu.

Susulan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid menuntut kerajaan negeri memberikan penjelasan terhadap pelbagai persoalan berkaitan isu penerokaan dan kecurian REE, yang didakwa masih berlaku susulan penahanan beberapa individu .

Related Articles

Back to top button