Semasa

‘Isu Sanusi belum selesai’ – Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa perkara melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor masih belum selesai.

“Perkara ini masih belum selesai,” titah ringkas baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Ia sebagai mengulas warkah mohon ampun diutus Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) kepada Sultan Selangor Sabtu lalu susulan gesaan banyak pihak yang mahu dia membuat permohonan maaf terbuka setelah mengeluarkan kenyataan dalam satu ceramah di Selangor yang didakwa menghina Baginda selain meremehkan pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar negeri itu.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, di Shah Alam.

Pertemuan secara berasingan ini telah membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi dalam satu ceramahnya di Selangor baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Sanusi yang mempertikai serta melanggar larangan menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution kemudian menegaskan Sanusi telah melanggar garis merah dan perlu bersedia menanggung akibatnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan lain, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan kepada ahli – ahli Dewan di-Raja Selangor yang bertindak membuat satu laporan polis terhadap Sanusi pada 14 Julai 2023 lalu berhubung kenyataan dibuatnya itu.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga amat berbesar hati di atas sokongan yang ditunjukkan oleh ahli – ahli Dewan di-Raja Selangor serta semua pihak yang berkaitan,” kata kenyataan Selangor Royal Office.

Related Articles

Back to top button