KPDN akan anjur program ‘Jualan Rahmah Bergerak’ lebih kerap
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang untuk melaksana Jualan Rahmah Bergerak ke seluruh negara secara lebih kerap.
Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan program jualan berkonsepkan “Kedai Cari Rakyat” itu dilihat mendapat sambutan lebih baik dan meluas kerana medium jualan murah berkenaan bergerak ke kawasan strategik dan lebih banyak golongan sasar dapat menikmati faedah berkenaan.
“Sebelum ini pelaksanaan Jualan Rahmah tertumpu di premis peruncitan seperti pasaraya dan kedai runcit tetapi menerusi Jualan Rahmah Bergerak yang menggunakan konsep ‘Kedai Cari Rakyat’, inisiatif ini akan mencari rakyat dan lokasi yang sesuai.
“Pada Mac lepas, Parlimen meluluskan RM100 juta bagi pelaksanaan Jualan Rahmah di seluruh negara dan pada awalnya kita (KPDN) banyak melaksanakannya di dalam premis dan luar premis, namun akan datang kita sasarkan untuk laksanakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri di setiap negeri,” katanya.
Fuziah sebelumnya ditemui pemberita selepas mengadakan Lawatan Turun Padang dan merasmikan Jualan Rahmah Bergerak di Pasar Malam Pantai Puteri, Melaka.
Sementara itu Fuziah memaklumkan,menerusi inisiatif konsep ‘Kedai Cari Rakyat’, kos penganjuran Jualan Rahmah dapat diminimumkan dan lebih banyak subsidi dapat disalurkan kepada rakyat, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.
Rakyat menikmati tawaran harga 30% lebih rendah daripada pasaran melibatkan lebih 15 barangan keperluan atau barangan dapur.