Negeri

SPRM digesa siasat bajet khas RM30 juta kerajaan Kelantan

Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kelantan mahu siasatan dibuat terhadap bajet khas RM30 juta yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.

Jurucakapnya Zulhazmi Hassan berkata, walaupun peruntukan itu dibentang dalam Bajet Kelantan 2023, namun timbul keraguan besar berhubung kaedah dana itu akan digunakan.

Tambahnya, peruntukan itu juga seolah-olah menggambarkan alokasi untuk 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang wajib dimenangi oleh Pas bagi membolehkan parti itu terus mentadbir Kelantan.

“Kita merujuk satu status di laman Facebook atas nama Mohd Zakri berkaitan dana berkenaan. Jadi, ada kebimbangan sekiranya bajet itu disalah guna untuk tujuan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Peruntukan RM30 juta itu dinyatakan sebagai projek khas dan kita tertanya-tanya adakah yang dimaksudkan satu peruntukan projek khas bernilai RM30 juta itu untuk kegunaan PRN?

“Sebelum ini kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan ingin menyediakan bas percuma dan kita raikan kalau ia digunakan untuk rakyat. Namun, kita masih tidak tahu secara terperinci berkait perbelanjaan RM30 juta itu,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, Kerajaan negeri membuat ketetapan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTSA) untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata keputusan itu dibuat melalui Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 21 Jun lalu.

Hazmi yang juga Ketua Pemuda PH Kelantan berkata, siasatan SPRM penting untuk mengelak peristiwa membabitkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dibatalkan kemenangan akibat rasuah berulang dalam PRN kali ini.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Related Articles

Back to top button