Fadzlina cari individu sebar poster fitnah terhadap dirinya, pertimbang failkan saman malu
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melahirkan rasa kecewa apabila fitnah terus menjadi permainan politik menjatuhkan lawan negara ini.
Ia susulan ucapannya dalam sebuah forum yang menggesa pembangkang berhujah secara fakta berbanding hanya memainkan sentimen agama untuk menarik sokongan telah kemudian diputar belitkan dengan kononnya beliau menggelar pihak yang mempertahan azan di Pulau Pinang sebagai ‘Melayu bangsat’
Melalui hantaran di Twitternya, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu memberi tempoh 24 jam untuk pihak yang melempar membuat fitnah itu membuat permohonan maaf dan menarik semula poster bertujuan jahat berkenaan.
“Kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk fitnah sesuka hati. Saya beri masa 24 jam untuk buat permohonan maaf terbuka dan menurunkan posting berkenaan,” katanya di Twitter.
Rabu lalu Fadhlina dalam forum terbitan Media Perpaduan bertajuk “Malaysia Di Ambang PRN 2023” menggesa pembangkang memperluas pengetahuan supaya dapat berhujah tentang idea dengan lebih baik, berbanding hanya berkisar isu azan yang kononnya tidak boleh dilaungkan.
“Kalau di Pulau Pinang setiap kali pilihan raya isu yang dimainkan ialah ‘azan tak daq’ (azan tiada), macam mana hangpa (kamu) sembahyang? Jadi maknanya apa, tak boleh bahas isu ekonomi, kemajuan, ekonomi sebab itu dia (pembangkang) serang azan sahaja.
“Kalau dia betul…lawan idea, bukan lawan azan. Kalau ini yang diulang ulang (ertinya pembangkang) miskin idea. Kita suruh masuk Dewan Rakyat bahas isu polisi, masuk Dewan Undangan Negeri pun isu polisi,” katanya pada forum berkenaan.
Sementara itu dalam hantaran sama Fadhlina memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis terhadap fitnah tersebut.
Beliau turut memaklumkan misi mencari individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan bahan fitnah sedang dijalankan dan memohon akaunnya “ditag” di mana poster itu disebarkan.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk saman malu dan fitnah yang terus disebarkan,” katanya.