Nasional

SPRM digesa siasat pendedahan Vincent Tan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan terhadap pendedahan yang dilakukan oleh Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, dakwaan Vincent tersebut amat serius dan ia menunjukkan ketidakpatuhan dalam proses tender oleh kerajaan pada tahun 2020 iaitu pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kenapa surat hasrat (LOI) yang dikeluarkan dibatalkan? Apakah keputusan jawatan kuasa tender pada ketika itu?

“Kenapa hasil tender oleh kerajaan pada tahun 2019 tidak dipatuhi? Apakah justifikasi bagi kerajaan pimpinan Muhyiddin memberikan kontrak kepada Spanco yang dikatakan RM700 juta lebih tinggi?,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Vincent mendedahkan dirinya menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan LOI yang ditawarkan kepada syarikat JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.

Vincent berkata, LOI berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

Beliau turut mendedahkan bahawa kontrak yang diberikan kepada Spanco adalah RM700 juta lebih tinggi berbanding harga yang dibida ketika JV.

Related Articles

Back to top button