Usaha k’jaan sepatutnya jadi topik bicara, bukan terperangkap politik kebencian -PM
Selain menggerakkan beberapa usaha yang berdampak besar dan memberi manfaat sebaiknya kepada rakyat, kerajaan sama sekali tidak akan meminggirkan kelangsungan hidup golongan petani dan nelayan, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui catatan di Facebooknya pada Selasa berkata, beliau telah menyenaraikan beberapa inisiatif penting dalam memungkinkan pembelaan terhadap golongan petani dan nelayan, antaranya dengan menyalurkan bantuan subsidi serta insentif untuk industri padi dan beras berjumlah RM1.62 bilion.
“…menyediakan sumbangan tunai sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah dengan peruntukan sebanyak RM228 juta, meneruskan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut dengan kadar bayaran RM300 sebulan dan lain-lain.
“Adalah menjadi komitmen kerajaan bahawa golongan petani, peladang dan nelayan dibela sebaiknya,” katanya.
Selain itu jelasnya, Kerajaan Perpaduan juga memperuntukkan sebanyak RM5.39 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tahun ini.
Jumlah itu meningkat sebanyak 12.06 peratus berbanding RM4.81 bilion pada 2022.
Justeru tegas Anwar, usaha kerajaan itu sepatutnya menjadi topik perbincangan rakyat ketika masyarakat cuba diheret dan dipaksa dengan politik kebencian yang tidak berkesudahan.