Semasa

Saifuddin sangkal dakwaan Hamzah isu batal pemilihan 2022

KENYATAAN Hamzah Zainudin berkaitan pembatalan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada tahun lepas disangkal.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution Ismail sebaliknya berkata, parti itu menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan ia berkaitan aduan ahli parti, bukannya untuk membatalkan keputusan pemilihan parti.

RoS memberi tempoh dua minggu kepada PKR untuk menjawab surat tersebut supaya parti tidak dibatalkan.

Tambah Saifuddin, sebagai Setiausaha Agung pada waktu itu, sekiranya beliau sememangnya berniat supaya parti terbatal, tidak perlu untuknya membalas surat berkenaan dan parti tersebut akan terbatal dengan sendirinya.

“Kalau tak jawab, parti batal. Itu ceritanya. Bila setiausaha agung jawab surat bermaksud beri sebab, alasan kenapa parti tak patut diharamkan.

“Kita senaraikan satu-satu perkara yang telah disebut RoS kepada parti.

“Kalau nak dikatakan saya kalah kepada Rafizi kemudian minta parti batal…saya tak payah jawab surat, saya diam.

“Maknanya parti beri tanggungjawab. RoS bagi tempoh dalam dua minggu. Hakikatnya saya jawab surat kepada RoS,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen 2023 di Putrajaya pada Jumaat.

Hamzah yang merupakan bekas menteri KDN baru-baru ini mendakwa Saifuddin pernah merayu kepada beliau untuk membatalkan keputusan pemilihan KEADILAN pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi.

Walau bagaimanapun Saifuddin kemudian menegaskan, kenyataan dibuat Hamzah itu hanyalah kenyataan politik.

Related Articles

Back to top button