Politik caci maki tak untungkan rakyat, tegas PM Anwar
Masyarakat tidak harus terikut dan terpengaruh dengan kempen mencerca dan memaki hamun orang lain sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bibit-bibit ke arah perjalanan kempen tanpa adab dan nilai murni sudah mula dilihat dengan beliau sendiri menjadi bahan cercaan pemimpin pembangkang, termasuk oleh mereka yang mendakwa mewakili parti berteraskan Islam.
Tegas Anwar, cercaan dilemparkan terhadap beliau atau mana-mana pimpinan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan memberi kesan terhadap usaha membantu rakyat dan memajukan negara.
Sebaliknya perlakuan negatif itu akan dinilai, seterusnya dihukum rakyat dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.
“Pilihan raya ini bukan medan untuk memaki orang tetapi medan untuk kita menerangkan mengenai perancangan ekonomi dan hal berkaitan kepentingan rakyat.
“Apa yang kita nampak keadaan menjelang PRN ini mula tajam dan hangat dengan tiada lagi batas adab, nilai murni sebaliknya penuh dengan maki hamun terutamanya kepada saya selaku Perdana Menteri,” katanya.
Anwar berkata begitu ketika berucap pada majlis “Kita Hulu Klang Bersama PMX” di padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat dekat sini malam tadi.
Anwar berkata, beliau akur dengan dirinya yang sentiasa dijadikan bahan kempen pembangkang namun, keadaan dan cara kempen parti lawan, khususnya daripada parti yang berteraskan Islam ketika ini amat jauh berbeza berbanding semasa dipimpin oleh Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
“Dengan sokongan dan dukungan penduduk Hulu Klang serta seluruh rakyat Selangor, kita harus bagi mesej jelas kepada pembangkang yang perbuatan mencerca dan memaki hamun lawan bukan lagi pilihan.
“Sebaliknya kita buktikan hanya kerajaan yang sedaya upaya berusaha meningkat upaya rakyat sebagaimana kerajaan Selangor diberi sokongan dan dipilih walau siapapun calon yang pimpinan pilih,” serunya.