AnwarSemasa

Program ‘Temu Anwar’ bukti PM ambil berat kepada orang muda

Program Temu Anwar, iaitu perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dengan mahasiswa di beberapa universiti kebelakangan ini, adalah untuk berkongsi hala tuju negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas dakwaan pembangkang kononnya program itu boleh dilihat sebagai kempen politik secara terbuka di universiti, Mohamed Khaled menegaskan sesi tersebut tidak ada kena-mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Melihat dari sudut positif, beliau menegaskan apa yang dilakukan Anwar merupakan bukti beliau sangat mengambil berat tentang pelajar dan orang muda.

“Kalau kita dengar ucapan beliau (Anwar), antaranya mahu supaya pelajar selain daripada kritis mahu pelajar kreatif, beliau juga mahu pelajar jangan taksub tetapi perlulah menggunakan pemikiran, mestilah memiliki pemikiran rasional.

“Semua itu, kalau saya pun, memang itulah yang saya nak cakap kepada pelajar kerana masa depan negara bergantung kepada (bagaimana) kita dapat lahirkan (pemimpin).

“Satu, bukan sahaja kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan pemikiran dan kekuatan kerohanian … (itu) tiga perkara yang penting yang saya ingat selari dengan konsep Malaysia MADANI yang kita nak capai melalui perkara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu sebelumnya ditemui pemberita pada satu program di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar di Kota Tinggi pada Sabtu.

Related Articles

Back to top button