Semasa

Jenazah Menteri KPDN akan disolatkan di Masjid Al-Badar, disemadikan tengah hari ini

Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayob akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar, Jalan Langgar, di sini pada awal pagi ini.

Solat jenazah akan dilakukan di masjid berkenaan sebelum diterbangkan dengan pesawat khas dari Alor Setar untuk disemadikan di kampung halamannya di Johor.

Jenazah Allahyarham telah diuruskan terlebih dahulu di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dibawa ke masjid pada jam 12.10 tengah malam.

Lebih 200 individu termasuk pemimpin politik menunggu di Jabatan Forensik HSB untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Ahli Parlimen Pulai itu.

Antaranya Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamuddin.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada 12 tengah hari Isnin.

Menurut jadual perancangan dikongsikan Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal, ziarah jenazah di kediaman ibu Allahyarham ditetapkan pada 7 pagi di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.

Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad HSB Alor Setar.

Timbalan Presiden Amanah itu dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Related Articles

Back to top button